13 November 2010

Aku Tak Kedekut tapi Aku Berkira


[Versi LKM 400]

Aku dibesarkan dalam keluarga yang sederhana dan dari segi makan dan pakai, kami adik beradik yang seramai 3 beradik sememangnya lengkap dengan peralatan dan keperluan yang sememangnya kami perlukan. Namun begitu, kedua ibu bapa kami tidak mengamalkan langsung sikap membeli barangan yang tidak berfaedah kepada kami adik beradik seperti Gameboy, Playstation dan barang-barang yang seangkatan dengannya. Teringat lagi ketika waktu zaman sekolah rendah, Gameboy Nintendo sememangnya barangan idaman bagi kanak-kanak lelaki di sekolah rendah dulu. Pernah terjadi satu kes dimana salah seorang rakan
aku membawa Gameboy Nintendo miliknya ke sekolah ketika Jamuan Akhir Tahun Kelas, dan kami kesemua pelajar lelaki bergilir-gilir main Gameboy beliau. Giliran aku tiba hanya sekali dan aku benar-benar dapat merasai betapa terujanya dapat main permainan tersebut. Aku pulang dari sekolah dan minta abah belikan untuk aku, namun abah tolak katanya tiada manfaat. Aku menerimanya, namun arwah Tok Wan Noordin aku menjadi tempat aku mengadu, Tok Wan rela untuk membelikan aku namun dia tidak tahu dimana dia dapat membeli permainan tersebut, apabila Tok Wan tanya Abah, Abah enggan memberitahu kerana tidak mahu Tok Wan belikan untuk aku. Sedih memang sedih, tapi aku dapat menerima.Abah memang cerewet dalam membeli atau menyediakan peralatan kepada anak-anaknya, Farah, Faiz iaitu aku dan Firdaus. Dia tidak mahu kami dimanjakan dengan sogokan barangan seperti itu. Namun kami adik beradik mula menggunakan telefon bimbit seawal remaja lagi atas faktor kemudahan perhubungan memandangkan kami adik beradik aktif ketika zaman sekolah dan sering tiada di rumah.

Ibu aku merupakan seorang ibu yang suka mendengar dan melayan anak-anaknya namun ibu turut bersependapat dengan abah. Bagi ibu, membawa aku ke kedai buku seperti Boarders dan Popular adalah perkara terbaik. Kenalah dengan perangai aku, yang ketika kanak-kanak suka menghabiskan waktu aku dengan buku seperti membaca, menulis dan mewarna. Terpancar wajah puas ibu jika dia dapat melihat aku membelek-belek buku yang dibelinya. Kadang kala, coklat Cloud 9 menjadi santapan kegemaranku apabila membelek buku-buku yang ibu beli. Boleh dikatakan hampir setiap hari, ibu akan membelikan aku Cloud 9 apabila ibu pulang dari kerja sehinggakan gigi hadapanku menjadi berkarat. Gara-gara kebiasaan ibu membelikan aku coklat ketika aku kecil, sehingga sekarang aku masih menggemari coklat dan aku tidak kisah jika ada orang diluar sana yang mengatakan coklat hanya untuk golongan wanita kerana bagi aku, coklat dapat mengingatkan aku kepada ibu dan mampu memberikan senyuman diwajahku.

Kedua-dua ibu bapaku yang mempunyai sifat berkira ini telah membentuk peribadi aku iaitu menjadi seorang yang berjimat. Di dalam setiap perbelanjaanku, aku akan hitung sama ada barangan yang ingin aku beli atau aku beli itu benar-benar memberi manfaat kepada aku. Sudah menjadi kebiasaan kepada diriku, sebelum membeli sesuatu barangan, aku akan bertanya pendapat ibu, dan jika ibu benarkan, aku akan membelinya jika ibu larang aku akan menghindarinya. Pernah beberapa kali aku sangkal pendapat ibu, benar kata pepatah lama, orang tua lebih makan garam dari yang muda, aku akan menyesal dengan barang yang aku beli dan sudah semestinya sesalan yang berlaku tidak akan dapat mengembalikan kembali wang aku.

Beberapa sahabat ada mengatakan bahawa aku ini merupakan seorang yang kedekut perihalnya. Seboleh-bolehnya aku sangkal kerana aku sememangnya tidak sebegitu, aku cuma berjimat dan berkira dengan wang yang aku ada. Setiap sen dalam dompetku akan aku hitung dan aku tentukan corak penggunaannya dan sudah semestinya aku akan simpan wang untuk kecemasan setiap bulan. Masih lagi aku ingat pesan ibu, sentiasa simpan ibu duit dalam dompet, jangan biar dompet kosong tanpa sebarang wang dan basahkan pinggan setelah makan yang mempunyai signifikannya yang tersendiri. Pertama, sentiasa isikan dompet dengan ibu duit bermakna pastikan dalam dompet ada nilai wang yang besar. Mengambil contoh nilai RM10. Jadikan RM10 sebagai ibu duit di dalam dompet, pastikan RM10 sentiasa ada di dalam dompet. Jika difikir-fikirkan kembali, RM10 apabila digunaka,nilainya akan menjadi semakin kecil kan kecil dan seterusnya habis digunakan. Maka dengan itu, RM10 menjadi ibu kepada semua nilai-nilai wang yang lebih kecil agar kita tidak kehabisan duit ketika waktu mendesak.Kedua, basahkan pinggan setelah makan.Signifikannya berharap agar rezeki yang dikurniakan sentiasa ada dan tidak kering.Signifikan kedua, mudah bagi si pencuci menanggalkan sisa kotoran.

Apabila ada yang menyebut-nyebut bahawa aku merupakan seorang yang kedekut, kadang kala ia membuatkan aku terkedu namun apabila disamakan mulut orang dengan mulut tempayan, aku pekakkan telinga. Natijahnya, keuntungan memihak kepada aku. Kenapa aku diletakkan dalam golongan yang kedekut? Hal ini kerana, aku mempunyai sifat mengira setiap sen yang dikeluarkan, bukannya tidak pernah aku belanjakan wang aku untuk kawan-kawan aku, ada, tetapi tidak selalu kerana bagi aku setiap wang yang aku ada sebagai seorang pelajar adalah hasil titik peluh ibu bapaku, dan wang tersebut sememangnya dan seharusnya digunakan aku dan bukan untuk orang lain dan itu tandanya aku menghargai titik peluh ibu bapaku.Jika ada insan yang aku belanja bermakna wang yang aku dapat adalah hasil dari titik peluhku sendiri.

Aku gemar membuat kerja sambilan jika ada waktu terluang kerana bagi aku, wang bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicari, perlukan usaha walaupun sedikit, tenaga dan otak yang cerdas. Kerja-kerja sambilan seperti mencuci pinggan di gerai kecil dihujung minggu, menjadi operator pengeluaran bagi produk kosmetik R&Z, menjadi operator vendor bagi syarikat Fuji Sdn. Bhd, menjadi pelayan di kafe hotel, menjadi pembancuh air di kafe, menjual produk MLM, menyediakan perkhidmatan edit dan menaip serta kereta sapu merupakan senarai pekerjaan sambilan yang penah aku lakukan, dan ia sememangnya memberi kepuasan kepada diriku.

Konklusinya, aku dapat melihat bahawa isu kedekut tidak pernah wujud, tapi aku mengaku jika ada yang mengatakan bahawa aku kedekut, aku menerima dan aku mengaku. Hal ini kerana aku telah samakan perkataan kedekut dengan perkataan berkira dalam glosari hidupku yang mempunyai pengertian yang sama namun pecahan yang berbeza.

1 comment :