Post kali ni memang sengaja aku highlightkan untuk aku saja sebab aku jadi rindu dengan suasana perbahasan dalam dewan.
Segalanya bermula ketika aku merupakan pelajar SMK Sultan Badlishah, sekolah yang pernah memberi seribu satu memori untuk aku. Di sini juga aku mula menonjolkan diri aku sebagai seorang pemimpin pelajar, pemidato dan pembahas. Di antara ketiga-tiga perwatakan yang aku miliki di sekolah, pembahas merupakan satu elemen yang paling aku rindu ketika dibangku sekolah.
Aku dipilih sebagai pembahas sekolah setelah berjaya menonjolkan diri sebagai Pemidato dalam satu Program Bintang Kecil di sekolah, Bintang Kecil merupakan sebuah program yang hanya dikhaskan untuk pelajar Tingkatan 1 dan 2, untuk kedua-dua tahun aku mencuba nasib dalam pertandingan Teater, Pidato dan juga Deklamasi Sajak. Berkat dari usaha aku untuk menonjolkan diri dalam bidang Pidato telah memberi ruang untuk aku kemudiaanya dipilih oleh Ketua Panitia Bahasa ketika itu Puan Zaiton Hashim untuk menyertai Pasukan Bahas Sekolah pada ketika aku di Tingkatan 3 dan untuk permulaan aku diletakkan pada posisi pembahas pertama atau dikenali sebagai Perdana Menteri dari sudut kerajaan dan Ketua Pembakang dari sudut pembangkang.
Tahun kedua aku menjadi pembahas ketiga iaitu posisi dimana paling spontan seseorang pembahas perlu bersedia tanpa teks ucapan tetapi cukup dengan fakta kes dan kajian kes yang dibawa bersama dengan fakta pembidasan dan aku memegang posisi tersebut selama 2 tahun menjadi pembahas sekolah. Setiap tahun kami antara pasukan yang berjaya ke peringkat negeri dan buat pertama kali ketika aku ditahun dua sebagai pembahas, kami muncul juara negeri dan berjaya mewakili negeri ke peringkat Zon Utara dan pada ketika itulah aku dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Negeri.
Tahun ketiga, aku bersama salah seorang ahli pasukan aku diserap masuk ke pasukan bahas GERKORAMA dan kami berjaya menempatkan diri ke peringkat kebangsaan menentang negeri Terengganu namun kecundang atas faktor ketidaksediaan aku sendiri dan menjadi terlalu gemuruh memandangkan pada ketika itu kami pada peringkat Semi-Final.
Antara pasukan penentang yang kami geruni ketika era pasukan bahas aku mengungguli arena perdebatan negeri Kedah adalah Pasukan Bahas SMKA Baling dan SMK Jitra, kedua-dua pasukan merupakan pasukan yang paling sengit memberi saingan kepada pihak kami.
Setelah tamat persekolahan, aku mendaftarkan diri ke Kolej Matrikulasi dan kemudian ke Universiti Sains Malaysia, dan semenjak aku meninggalkan zaman persekolahan, arena perdebatan juga turut aku tinggalkan. Bukan kerana hilang minat tetapi faktor ketiadaan platform ketika di kolej dan juga faktor kesibukan di Pusat Pengajian menghalang aku untuk meneruskan semangat aku sebagai pembahas. Pernah aku bertanya kepada Pembahas USM untuk menyertai mereka, beberapa panggilan dan jemputan aku terima namun aku terpaksa menolak kerana kesibukan yang aku alami dan kini aku lebih bergiat aktif dalam aktiviti persatuan dan sekretariat yang menguruskan aktiviti-aktiviti dalam universiti.
TEKAN LINK NI UNTUK PENJELASAN MENGENAI GAMBAR DI ATAS
http://faizfuad.blogspot.com/2010/02/my-award.html
Namun, aku tidak pernah menyesal meninggalkan arena perdebatan kerana aku tahu yang darah dan semangat di dewan perdebatan tidak pernah luntur dalam jiwa aku dan aku bersyukur kerana perdebatan atau perbahasan ini jugalah yang telah membentuk peribadi aku pada hari ini.